Minggu, 19 Oktober 2014

Ya ALLAH....Ampunilah Aku Jika Aku Berdosa Pada Suamiku.....

Ya ALLAH....ampunilah aku jika aku berdosa pada suamiku.....
          Ya Allah....Kau ampunilah dosa yang telah aku perbuat, Kau limpahi lah kesabaran yang tiada terbatas, Kau berikanlah aku kekuatan mental, Kau kurniakanlah aku dengan sikap keredhaan, Kau peliharalah lidahku dari kata kata nista, Kau berilah aku sikap kasih sesama insan.....
          Ya ALLAH....Sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di Arash, berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya. Sekiranya suamiku ini suami yang akan membimbing tanganku ke titian Mu, kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya. Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di Jannah Mu, limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya. Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku didunia Mu, peliharalah tingkah lakuku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya. Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu, berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala karenah dan ragamnya.......
           Ya ALLAH....Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia Mu, Kau tunjukkan aku jalan yang terbaik untuk aku mengharungi segala dugaan dari Mu dan limpahilah aku kesabaran untuk terus membimbingnya. Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan, kurniakanlah aku kekuatan Mu untuk aku memperbetulkan keadaannya. Sekiranya suamiku menyintai kesesatan, Kau pandulah aku untuk menariknya keluar dari terus terlena....

           Ya ALLAH.... Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku. Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapanku dan keterlanjuranku. Sekiranya aku tersilap membuat keputusan, bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai. Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri, Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhirat Mu. Sekiranya aku ingkar dan derhaka, berilah aku petunjuk ke arah rahmat Mu Ya Allah.....Amin Ya Rabbal Allamin....